Ahad, 22 Mei 2016

Parker 61


Model ini dihasilkan pada tahun 1956 hingga 1983. Sepertimana syarikat pengeluar pen yang lain berusaha mencipta pen yang berinovasi ketika era ini, Parker juga berusaha keras dan pada masa Parker 61 ini tercipta ia bagaikan suatu yang terhasil dari dunia yang berbeza. 


Dicipta dengan menggunakan sistem pengisian dakwat secara kapilari iaitu dengan hanya merendamkan hujung belakang kapilari selama beberapa saat dan dakwat terisi dengan sendiri. Sistem pengisian dakwat yang termudah hingga hari ini bagi saya. Rekabentuk pen menyerupai Parker 51 cuma ia mempunyai tanda anak panah di hujung mata pen dan mempunyai 'jewel' di hujung belakang pen. Material pen adalah plastik namun plastik yang berbeza daripada parker 51. Parker 61 lebih mudah pecah atau retak berbanding 51.


Tanda anak panah di hadapan pen memberi penampilan yang maskulin bagi saya seperti sedang memegang senjata semasa menulis namun keburukannya pula ia mudah tercabut. Mencari Parker 61 yang mempunyai tanda anak panah itu semakin sukar sekarang ini. Penutup pen diperbuat daripada tembaga/besi bersadur emas 12karat. Parker 61 mempunyai pilihan warna tidak sebanyak Parker 51. 


Dari segi prestasi menulis pula, saya lebih suka Parker 51 kerana walaupun rekaan, saiz dan rupabentuk ia seakan sama, ia tetap mempunyai sedikit perbezaan. Sukar untuk saya menjelaskan perbezaan kecil ini, namun begitu, Parker 61 tetap menulis dengan baik. Lebih baik daripada sesetengah pen yang ada sekarang ini.


Ketika Parker 61 sudah sampai di penghujung eranya, ia sudah tidak lagi menggunakan sistem pengisian dakwat secara kapilari lagi dan ia diganti dengan sistem pam konvertor. Ia lebih dikenali dengan nama Parker 61 MK3 bagi para pengumpul pen.


Parker 61 adalah pen yang digunakan oleh Perdana Menteri Malaysia yang pertama untuk menandatangani perjanjian kemerdekaan pada tahun 1957. Jadi, model ini ada keistimewaan yang lebih sedikit bagi rakyat Malaysia terutama bagi mereka yang meminati pen.

Jumaat, 20 Mei 2016

Pen Harianku 2

Sebulan dua ini, pen-pen yang sering saya bawa bersama ke tempat kerja adalah Sheaffer PFM, Parker 51, Waterman Expert III dan Aurora Ipsilon. Sejak saya menggunakan Sheaffer PFM, sukar untuk saya meninggalkannya di rumah. Ia memang pen untuk menulis yang bagus. Parker 51 adalah pen kegemaran saya sejak saya menulis dengan fountain pen. Waterman Expert III adalah pen hadiah daripada isteri, punya pengaruh sentimental dan Aurora Ipsilon adalah pen yang sangat berguna untuk menulis cek dan tandatangan kerana mata pen yang sangat smooth sesuai untuk permukaan kertas cek yang bercorak.

Sheaffer PFM hijau tidak diisi dengan 
dakwat cuma dibawa sahaja.


Perbandingan hasil tulisan antara
 keempat-empat pen harian saya.


Sheaffer PFM saya gunakan jika saya mahu
 tulisan saya kelihatan kemas dan teratur.

Rabu, 4 Mei 2016

Aurora Ipsilon


Ini adalah pen jenama Aurora yang pertama saya pernah gunakan. Model Ipsilon, berwarna hitam dengan kemasan warna emas di bahagian klip dan ring. Warna merah di bahagian antara ring di penutup pen mungkin menunjukkan pen ini dihasilkan pada tahun 90-an. Sekarang ini, model ipsilon masih ada lagi namun ada perubahan di bahagian kemasan sedikit terutama warna merah di bahagian ring itu.


Pen ini mempunyai rekabentuk yang menarik dan pelik bagi saya. Menarik dan cantik namun apa yang saya rasa pelik adalah pen ini seperti tidak seimbang berat dan saiznya kerana hujung badan pen agak kecil sedikit berbanding bahagian atas dan penutup pen. Klip pen menarik dan berbentuk Y, sesuatu yang berbeza dengan mana-mana pen yang pernah saya gunakan sebelum ini.


Material pen adalah plastik kalau tak silap saya resin. Agak ringan namun warna dan kilauannya sangat cantik. Disebabkan ia agak ringan saya selalu meletakkan penutup di hujung belakang pen supaya ia terasa berat sedikit. 


Mata pen sangat istimewa. Walaupun mata pen diperbuat daripada Stainless Steel namun ia sangat lancar dan licin. Ini adalah mata steel terbaik pernah saya gunakan. Namun ada sesuatu yang memberi kekurangan terhadap mata steel ini adalah ianya diwarnakan dengan warna emas (goldplated). Goldplated akan pudar jika pen ini digunakan setiap hari dan ianya memberi pandangan yang tak menyeronokkan ketika menulis. Jika anda adalah orang yang mementingkan rupa cantik mata pen, baiklah anda memilih yang tidak berwarna emas.


Secara kesimpulannya, pen ini membuatkan saya tertanya-tanya bagaimana rasanya menulis menggunakan pennya yang terbaik iaitu Aurora 88 jika model pengenalannya sudah terasa agak menyeronokkan, terutama keistimewaan mata pennya. Ada beberapa kelebihan dan kekurangan yang ketara iaitu kelebihan mata pen dan kekurangan berat pen hingga dirasakan pen ini senang rosak dan memerlukan penjagaan yang sangat teliti juga goldplated di bahagian mata pen yang senang pudar menyebabkan saya risau goldplated di bahagian klip dan ring juga akan pudar dengan senang. 


Pada pendapat saya, walaupun ada beberapa kekurangan pen ini,ia berjaya menunjukkan keistimewaannya ketika mata pen menyentuh kertas dan sekaligus menghilangkan ketidakpuasan hati saya tentang pen ini.