Isnin, 28 November 2016

Waterman Le Man 100 Fountainebleau Brown Wood


Pada tahun 1983 Waterman telah melancarkan satu model pen yang direka dan dibangunkan sempena 100 tahun Waterman diasaskan iaitu pada tahun 1883. Model Le Man tidak menunggu lama untuk mendapat sambutan pengguna dan pengumpul pen lantas menjadi model 'flagship' bagi jenama Waterman untuk beberapa tahun iaitu hingga di hujung tahun 90-an. Ia merupakan satu tempoh yang lama Le Man menjadi model 'flagship' dan disebabkan itu juga banyak rekaan atau variasi bagi model ini dari yang diperbuat daripada resin berwarna hitam hinggalah emas padat.  


Ulasan kali ini akan dibuat berdasarkan model Le Man 100 Fountainebleau Brown Wood. Ia merupakan model yang diperbuat daripada kayu yang berwarna coklat kemerah-merahan. Kayu ini selesa dipegang ketika menulis dan semakin lama ia jadi semakin selesa. Ia tidak memberi masalah kepada pengguna yang tangannya senang berpeluh seperti saya. 


Rekabentuk pen ini saya kira tidaklah terlalu moden dan boleh dikatakan pen moden klasik iaitu pen yang dibuat ketika era moden tapi masih menerapkan elemen klasik. Saya menyukainya rekabentuk pen ini kerana ia mempunyai keaslian jenama waterman dari segi klip ia, kemasan mata pen dan keringkasan stailnya. Melihat pertama kali pen ini sudah boleh dikatakan dengan jelas bahawa ia adalah pen untuk lelaki, jika diperincikan lagi lelaki tahun 80-an. Sangat menarik. 


Berat pen ini adalah lebih daripada kebanyakkan pen yang pernah saya gunakan. Tetapi tidaklah ianya terlalu berat hingga menyukarkan saya menulis dengannya. Mungkin disebabkan ini adalah versi kayu maka ia lebih berat, itu tidak dapat saya pastikan kerana saya tidak pernah mencuba Le Man 100 yang biasa. Berat pen tanpa penutup ketika menulis adalah lebih baik, maknanya saya tidak meletakkan penutup pen di belakang pen ketika menulis.


Mata pen sangat baik. Pen terasa seperti tidak perlu kena permukaan kertas ketika menulis kerana dakwat yang keluar sungguh lancar. Mata pen licin dan berat pen menjadikan kepuasan menulis adalah sempurna. Walaupun saya jarang menggunakan pen bermata M tetapi pen ini membuatkan saya tak kisah tentang itu.


Saya hairan mengapa model ini sudah tidak dikeluarkan, mengapa Parker masih meneruskan model Duofold, Montblanc masih dengan 149-nya dan Pelikan masih dengan M800-nya. Dikatakan 'flagship' bagi waterman kini adalah model Edson, saya berminat untuk mencubanya tapi dari segi rekabentuk Le Man 100 lebih nampak keaslian Waterman pada pandangan saya. Saya bersyukur kerana dapat cuba menulis dengan Le Man 100 ini dan berharap para peminat pen yang lain juga dapat merasainya. Suka atau tidak itu bergantung kepada citarasa masing-masing. 

Jumaat, 14 Oktober 2016

Parker Vacumatic Warna Perang Keemasan Bersaiz Medium

Parker Vacumatic merupakan antara model pen yang popular di kalangan pengumpul dan peminat pen. Ada pengumpul yang menggelarnya 'Parker Belang' kerana corak belang di plastik celluloid parker vacumatic. Diperkenalkan pada tahun 1932 dan menjadi hangat di pasaran menggantikan model duofold yang popular sebelumnya.


Saya ingin mengulas dengan fokus terhadap pen parker vacumatic warna keemasan ini sahaja kerana jika saya mahu menceritakan tentang model ini secara menyeluruh saya khuatir ia akan mempunyai banyak kesilapan fakta disebabkan saya bukanlah terlalu arif tentang model ini dan cerita tentangnya saya rasa agak panjang. Pen ini diperbuat di Canada pada tahun 1950-an. Ianya bersaiz medium atau sederhana besar, bukanlah junior (kecil) atau senior (besar). Secara amnya, Parker Vacumatic ditamatkan pengeluarannya di Amerika pada tahun 1948 dan 1953 di Canada.


Pada saya ini adalah model era klasik terakhir bagi jenama Parker. Ini adalah disebabkan selepas model vacumatic muncul model Parker 51 yang membawa banyak pembaharuan dalam rekabentuk pen jenama Parker dan menjadi tanda aras kemodenan fountain pen selepas itu. Kecantikan model parker vacumatic ini tidak dapat dilihat pada jenama pen yang lain. Keunikan bahan plastiknya iaitu celluloid membolehkan kecantikan itu dapat dirasakan hingga hari ini. Kemasan atau perhiasan di klip dan gelang di bahagian penutupnya mempunyai ukiran yang menunjukkan kegemilangan era 'art deco' di zaman 40-an. Mata  pen juga sarat dengan kecantikan ukirannya. Sistem vacumatic yang digunakan oleh pen model ini adalah sistem pengisian dakwat yang tidak menggunakan sac tetapi ianya menggunakan getah untuk menyedut dakwat melalui tekanan yang dikenakan pada piston di hujung pen.


Kualiti tulisan pen ini tidak jauh beza dengan kualiti pen-pen vintaj jenama lain. Saya sangat menyukai kualiti dan hasil tulisan yang keluar dari hujung mata pen lama. Dakwat yang keluar tidak tersangkut-sangkut, mungkin disebabkan saya telah membersihkan pen ini terlebih dahulu. Disebabkan mata pen ini bersaiz halus mungkin ef, saya tidak boleh menulis dengan laju kerana matanya sangat tajam bagai menulis dengan jarum.


Menulis dengan parker vacumatic ini dapat memberi kesan penghayatan yang baik terhadap apa yang ditulis pada saya kerana keindahannya. Pembuatan pen ini benar-benar menunjukkan betapa pen sangat dihargai oleh orang atau pengguna pada ketika itu. Menulis ketika memegang sesuatu yang indah seperti ini akan membuatkan hati berasa tenang dan ingin menulis yang indah sahaja. 


Ada satu kekurangan pen ini pada pendapat saya dan ianya hanyalah berlaku kepada saya yang bertangan besar dan biasa menggunakan pen bersaiz agak besar seperti Sheaffer Pfm. Mungkin juga saya lebih sesuai menulis dengan Parker Vacumatic saiz Senior. Bahagian memegang pen iaitu tempat meletakkan ibu jari dan jari tengah agak kecil dan menyukarkan saya menyelaraskan perletakkan jari-jari saya. Jika saya dapat merasai perbezaan dengan saiz senior bolehlah saya ceritakan di kemudian hari. Apa-apapun ini adalah pen yang hebat.

Jumaat, 7 Oktober 2016

Pen Dan Pisau Cukur


Pen dan pisau cukur telah melalui zaman perubahan dan menuju ke arah yang lebih moden untuk menyesuaikan kerelevanan ia di dalam kehidupan harian manusia. Pena mata bulat lebih diminati oleh ramai orang kerana murah, tahan lasak, dan boleh pakai dan dibuang dengan senang. Begitu juga pisau cukur, pisau cukur pakai buang lebih digemari. Namun demikian, penggunaan produk-produk pakai buang begini menghakis seni menulis dan seni bercukur yang telah diamalkan sejak zaman datuk kita dahulu lagi.


Penggunaan fountain pen dan pisau cukur 'safety razor' mempunyai banyak persamaan. Kebiasaannya diminati oleh lelaki yang suka dan menghargai seni di sekeliling mereka, agak konservatif dan mementingkan kepuasan diri berbanding penilaian dari kaca mata orang lain. Keduanya melibatkan persediaan dan turutan seperti fountain pen perlu diisi dakwat terlebih dahulu, mata pen dibersihkan dan barulah menulis. Menulis dengan gaya tertentu, di atas kertas yang diminati dan kepuasan menulis dihayati. Bercukur dengan safety razor juga begitu, kelengkapan pisau perlu lengkap, pisau dimasukkan ke tempatnya, muka dibasuh dengan air suam, penggunaan krim cukur dan mula bercukur seterusnya kepuasan bercukur dihayati. 


Tiada masalah menggunakan produk-produk pakai buang, saya juga pernah menggunakannya namun kepuasannya berbeza. Ia memberi rasa yang lain, memegang besi tak sama dengan memegang plastik. Apabila saya menggunakan pisau cukur ayah saya, saya akan teringat padanya. Apabila saya menulis seperti ayah saya, saya akan merindui dia. Mungkin saya juga mahu anak saya ingat kepada saya sepertimana saya mengingati ayah saya. Kelengkapan lelaki yang dibuat dengan baik begini mampu bertahan puluhan tahun jika dijaga dengan baik, jadi rasanya tak rugi membelinya walau ia lebih mahal daripada produk pakai buang.


Inilah yang ramai lelaki lalui pada zaman dahulu, saya melihat arwahyarham ayahanda saya melalui rutin begini dan saya ingin mengikut jejaknya. Lelaki budiman, kemas, sopan dan santun walaupun dia bukan seorang yang kaya.

Khamis, 8 September 2016

Sheaffer Cadet 23


Pen Sheaffer Cadet merupakan model pen yang dihasilkan untuk memenuhi pasaran pen yang berharga rendah pada tahun 1950-an, sezaman dengan keluaran sheaffer snorkel. Sheaffer Cadet 23 pula adalah model yang lebih baik daripada Cadet biasa. Ianya dihasilkan pada tahun 1961 hingga 62, hanya 2 tahun pengeluaran menyebabkan pen ini menjadi salah satu model yang jarang dijumpai di dalam pasaran. Apa yang membezakan Cadet biasa dan Cadet 23 adalah mata pennya. Syukur saya dapat merasai kualiti tulisannya. 


Walaupun pen ini sudah lama dalam simpanan namun baru beberapa hari ini dapat saya baikinya. Saya hanya menggantikan Sac atau tiub pen namun tidak dapat lagi membaiki keseluruhan sistem pengisian dakwat. Tetapi itu sudah cukup untuk membuat ia boleh mengisi dakwat seperti biasa cuma tidak canggih seperti yang sebelum ia rosak.


Rekaan pen ini ringkas dan menonjolkan identiti Sheaffer hampir sama seperti rekaan Sheaffer Snorkel, Balance dan TM. Agak ringan memegang pen ini. Ini mungkin disebabkan pen ini diperbuat daripada plastik dan sistem pengisian dakwatnya iaitu Tip-Dip tidak mempunyai terlalu banyak komponen seperti sheaffer snorkel. Ringannya pen ini sangat padan dengan kelembutan dan kelicinan mata pennya. Sebentar lagi saya akan ulas lebih lagi tentang matanya. Bahagian section pen yang sama warna dengan badan pen menjadikan pen ini lebih ringkas tapi pada masa yang sama lebih unik berbanding model sheaffer yang lain. Kebanyakkan model sheaffer lain mempunyai section berwarna hitam.

           Perbandingan saiz antara Sheaffer Snorkel dan Cadet 23


Mata pen Cadet 23 ini agak luar biasa. Lembut seperti mempunyai spring di hujung mata. Bukanlah seperti mata pen fleksibel namun kelembutan matanya hampir sama. Licin dan smooth malah lebih baik dari beberapa batang pen yang modelnya dijual lebih mahal. Dibuat daripada emas 14 karat dan mempunyai tanda '23' di bahagian mata pen.


Pen yang bagus daripada Sheaffer. Saya mengambil masa bertahun untuk mengetahui yang pen ini bagus dan ianya berbaloi untuk saya menyimpannya bertahun sehingga saya dapat membaikinya dan menulis dengannya.



Rabu, 31 Ogos 2016

Pen dan Merdeka

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan!

Tunku Abdul Rahman menggunakan dua batang pen yang berbeza untuk menandatangani perjanjian-perjanjian yang penting dalam proses kemerdekaan negara. Sebatang adalah pen watermans 100 years (kalau tak silap) dan sebatang lagi adalah pen parker 61.

Pen Watermans untuk perjanjian di London

Pen Parker 61 untuk perjanjian kemerdekaan di Kuala Lumpur

Selamat Hari Kebangsaan! Semoga pemimpin negara kita menggunakan pen mereka dengan baik dan bijaksana.