Selasa, 5 April 2016

Sheaffer PFM : Pen For Men.


Ada satu model pen keluaran Sheaffer yang agak susah untuk saya cari. Ianya sangat saya minati setelah saya membaca beberapa ulasan luar tentangnya. Ada yang mengatakan ianya lebih hebat daripada parker 51, lebih hebat daripada Montblanc 149 dan macam-macam lagi, tetapi itu citarasa masing-masing. Namun pada saya, model itu iaitu Sheaffer PFM termasuk dalam senarai pen idaman saya.


Sheaffer PFM dikeluarkan pada tahun 1959 hinggalah tahun 1968. Ianya tidak mendapat sambutan yang diharapkan oleh Sheaffer. Ianya kurang berjaya walaupun pelbagai pembaharuan yang diberikan terhadap model ini seperti inlaid nib, ini adalah model yang memperkenalkan mata pen yang sangat sinonim dengan sheaffer. Disebabkan ketidakberjayaan model ini pada masa lepas, ianya menjadi sukar untuk dicari pada masa kini. Yang menjadikan ianya lebih dicari adalah kerana Sheaffer PFM adalah pen yang bagus dan dijual sebagai 'top line model' bagi katalog Sheaffer.


Alhamdulillah, saya berjaya memegang dan berkesempatan mengulas sedikit tentang model PFM ini. Saiz pen adalah besar, direka khas untuk keselesaan pengguna lelaki. Terasa selesa memegangnya, kemas ditangan dan tidak terlalu berat. Serba sedikit pengaruh rekabentuknya diturunkan kepada model lain yang keluaran selepas PFM seperti model imperial, legacy, targa dan valor. Ini menyebabkan peminat seperti saya agak sukar mencarinya kerana para penjual mudah terkeliru untuk mencari PFM tambahan lagi pen seperti ini agak kurang dalam pasaran.


Mata pen boleh saya katakan sangat bagus. Walaupun ini adalah percubaan pertama inlaid nib bagi sheaffer tetapi ianya adalah yang terbaik. Licin, basah dan tidak comot kerana ia mudah dilap. Saya tidak suka menulis dengan mata pen yang comot. Pengisian dakwat menggunakan sistem snorkel. Sistem pengisian dakwat yang paling maju walaupun ketika zaman sekarang ini. Muncung pen akan mengeluarkan jarum untuk mengisi dakwat dan pengguna hanya perlu menekan bahagian badan pen ke atas dan ke bawah untuk mengisi dakwat.


Sheaffer PFM dikeluarkan dengan hanya lima warna sahaja iaitu burgundy, biru, hijau, hitam dan kelabu. Mempunyai lima versi untuk mensasarkan pelbagai lapisan pasaran daripada yang murah kepada yang mahal. Apa yang membezakan antara setiap versi adalah kemasan penutup dan mata pen. Gambar yang saya tunjukkan adalah versi ke lima yang menjadi top line modelnya.


Secara keseluruhannya, pada saya ini adalah pen terbaik daripada Sheaffer yang pernah saya pegang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan