Ahad, 22 Mei 2016

Parker 61


Model ini dihasilkan pada tahun 1956 hingga 1983. Sepertimana syarikat pengeluar pen yang lain berusaha mencipta pen yang berinovasi ketika era ini, Parker juga berusaha keras dan pada masa Parker 61 ini tercipta ia bagaikan suatu yang terhasil dari dunia yang berbeza. 


Dicipta dengan menggunakan sistem pengisian dakwat secara kapilari iaitu dengan hanya merendamkan hujung belakang kapilari selama beberapa saat dan dakwat terisi dengan sendiri. Sistem pengisian dakwat yang termudah hingga hari ini bagi saya. Rekabentuk pen menyerupai Parker 51 cuma ia mempunyai tanda anak panah di hujung mata pen dan mempunyai 'jewel' di hujung belakang pen. Material pen adalah plastik namun plastik yang berbeza daripada parker 51. Parker 61 lebih mudah pecah atau retak berbanding 51.


Tanda anak panah di hadapan pen memberi penampilan yang maskulin bagi saya seperti sedang memegang senjata semasa menulis namun keburukannya pula ia mudah tercabut. Mencari Parker 61 yang mempunyai tanda anak panah itu semakin sukar sekarang ini. Penutup pen diperbuat daripada tembaga/besi bersadur emas 12karat. Parker 61 mempunyai pilihan warna tidak sebanyak Parker 51. 


Dari segi prestasi menulis pula, saya lebih suka Parker 51 kerana walaupun rekaan, saiz dan rupabentuk ia seakan sama, ia tetap mempunyai sedikit perbezaan. Sukar untuk saya menjelaskan perbezaan kecil ini, namun begitu, Parker 61 tetap menulis dengan baik. Lebih baik daripada sesetengah pen yang ada sekarang ini.


Ketika Parker 61 sudah sampai di penghujung eranya, ia sudah tidak lagi menggunakan sistem pengisian dakwat secara kapilari lagi dan ia diganti dengan sistem pam konvertor. Ia lebih dikenali dengan nama Parker 61 MK3 bagi para pengumpul pen.


Parker 61 adalah pen yang digunakan oleh Perdana Menteri Malaysia yang pertama untuk menandatangani perjanjian kemerdekaan pada tahun 1957. Jadi, model ini ada keistimewaan yang lebih sedikit bagi rakyat Malaysia terutama bagi mereka yang meminati pen.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan