Baru-baru ini saya mendapat sebatang pen sebagai hadiah daripada isteri tercinta. Sebatang pen Waterman model expert 3 warna blue obsession. Pen yang cantik dan punya keperincian yang sangat cantik.
Kotak pen biasa bagi pen waterman. Nampak eksklusif dan ringkas.
Rekabentuk pen yang sama dengan versi-versi sebelumnya. Warna 'blue obsession' yang sinonim dengan jenama waterman menjadi istimewa dengan kombinasi penutup pen yang disadur dengan 'palladium' serta diukir dengan garis-garis yang menyerlahkan keanggunannya.
Mata pen ini diperbuat daripada 'stainless steel' dan mempunyai kualiti yang sangat baik pada pendapat saya. Pen kepunyaan saya ini mempunyai saiz mata F dan saya gembira dengan prestasinya. Aliran dakwat baik cuma kadang-kala agak tersekat, masalah kecil bagi saya kerana ia jarang berlaku dan tidak terlalu mengganggu penulisan saya. Kualiti tulisan yang dihasilkan melalui mata pen ini memuaskan hati saya. Tidak terlalu licin dan tidak terlalu basah, perkara biasa bagi saya untuk mata pen saiz F.
Badan pen diperbuat daripada bahan besi yang disaluti lacquer biru, oleh itu ia agak sedikit berat berbanding dengan pen yang diperbuat daripada bahan plastik seperti model expert yang pertama. Pada pendapat saya berat pen dan saiznya cukup sesuai dan membuatkan tangan penggunanya rasa seimbang ketika memegangnya.
Secara keseluruhannya, pen ini sangat baik kualitinya dari aspek pembuatan dan perincian mata pen, badan dan penutupnya. Sesuai bagi lelaki dan individu yang bertangan besar. Harga pen boleh dikatakan masuk dalam kategori mampu milik dan tidak terlalu mahal. Pen moden yang jadi kegemaran saya.
Kebaikan dan kelemahan yang saya senaraikan ini adalah dari aspek pandangan saya sahaja. Penilaian berbeza mengikut citarasa dan cara penggunaan.
Kebaikan:
1. Saiz pen yang boleh dikatakan besar sedikit dari kebiasaan.
2. Berat pen yang sesuai untuk seimbangkan genggaman pen.
3. Rekabentuk yang cantik.
4. Kepuasan menulis yang sangat baik.
Kelemahan:
1. Mata stainless steel dan bukan emas.
2. Aliran dakwat yang kadang kala terganggu.
3. Harga yang sedikit tinggi untuk pen bermata stainless steel.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan