Ahad, 21 Februari 2016

Parker Sonnet Cascade Gold


Pada hari ini, saya akan mengulas mengenai Pen Parker Sonnet Cascade Gold. Salah satu daripada kemasan yang ada dalam koleksi parker sonnet. Bagi peminat pen parker, model Parker Sonnet adalah model yang cukup dikenali. Bolehlah saya katakan bahawa parker sonnet adalah antara model pen terkenal.


Cascade Gold adalah corak yang diperkenalkan sejak model ini dihasilkan iaitu pada tahun 1994 dan tidak dihasilkan lagi sejak tahun 1998 jika saya tidak silap. Corak ini bagi saya klasik dan cantik. Sesuai untuk lelaki atau perempuan. Parker Sonnet mempunyai banyak corak dan sentiasa mempunyai perubahan. Disebabkan itu, ia memikat ramai pengumpul untuk mendapatkan setiap model bagi melengkapkan koleksi mereka.


Parker Sonnet diperkatakan sebagai pen yang bagus untuk menulis. Ya, bagi kebanyakkan pen moden model ini saya boleh katakan ianya cukup bagus dan berbaloi untuk sesiapa sahaja mencubanya. Mata pen yang diperbuat daripada emas 18karat ini lembut dan lancar. Ada juga mata yang diperbuat daripada stainless steel. Pada saya, mata pen ini tidak terlalu basah dan kadang kala terasa seperti terlalu lembut.


Rekabentuk pen ini sangat sesuai bagi kebanyakkan pengguna terutamanya lelaki. Dari segi saiz dan berat boleh saya katakan ianya lebih sedikit dari kebiasaan bagi saya yang selalu menggunakan pen vintage seperti parker 51 dan 75. Rekabentuk pen sangat elegan, kemas dan memuaskan hati pemilik.


Secara kesimpulannya, Parker Sonnet merupakan pen yang selalu mendapat perhatian. Bahkan bolehlah saya katakan saya berharap agar model ini sentiasa diteruskan, tidak dihentikan pengeluarannya dan sentiasa diperbaiki kelemahannya. Mempunyai banyak model dari yang murah iaitu rm200 lebih hinggalah mahal rm1300 ke atas.

Rabu, 17 Februari 2016

Pelikan New Classic P381.


Pen ini saya beli di pasar karat sahaja. Ya, kadang-kala benda yang kita inginkan ada di kawasan barangan antik atau terpakai. Ini adalah pen pelikan pertama yang saya beli. Saya agak cerewet dengan jenama pelikan kerana saya beranggapan bahawa pen pelikan adalah mahal dan rumit kerana terlalu banyak model daripada yang 'entry level' hinggakan 'high end'. Namun apabila terpandang pen pelikan new classic yang berwarna hijau ini saya jadi terpikat. Saya minta penjual memberi izin kepada saya untuk memegang dan saya merasakan berat pen yang saya suka. Ermm..pen ini bersaiz slim. Saya tak pernah melihat pelikan bersaiz slim, dan ini menambahkan minat saya walaupun saya bukan peminat pen slim.




Urusniaga dijalankan, Alhamdulillah berjalan lancar. Setelah pulang saya mencari maklumat tentang pen pelikan ini dan maklumat mengenai pen-pen pelikan tidak susah untuk didapatkan di dalam internet. Menyangkal tanggapan saya tentang kerumitan untuk mendapatkan maklumat pen pelikan walaupun mempunyai model yang banyak. Ini adalah Pen Pelikan New Classic. 


Pen ini mula dihasilkan pada tahun 1992 dan ditamatkan pada tahun 1995. Suatu tempoh yang agak pendek bagi sebuah model yang dicipta untuk menjadi fenomena. Agak lambat kerana tahun 1992 adalah tempoh yang sudah agak lama (bukan lagi trend) bagi pen yang bersaiz slim. Parker sudah awal menjual pen bersaiz slim sejak 80an dengan model Parker Classic, sheaffer juga sudah lama lagi dengan Targa Slim dan Fashion. Pen New Classic tidak mendapat sambutan dan tidak bertahan lama.


Pen ini mempunyai corak yang cantik bagi saya. Hijau ini adalah cat laqcuer di atas bahan tembaga. Berat dan licin permukaannya. Mata pen diperbuat daripada emas 14karat dan bersaiz f. Agak tebal bagi saya. Waterman Expert yang bermata f adalah lebih nipis berbanding ini. Namun kualiti mata pen pelikan adalah menakjubkan. Punya rasa yang tersendiri. Sangat lancar, lembut dan lain daripada jenama lain.

Pen parker arrow, pelikan new classic dan sheaffer fashion.

Tempat pemegang pen adalah plastik dan mempunyai garis-garis untuk cengkaman (grip section). Bagi saya agak berguna kerana pen slim susah untuk dipegang kerana tangan saya agak besar, jadi apabila ada bahagian ini ianya memudahkan saya menulis dengannya.

Istimewa tentang pen ini adalah matanya, corak dan rekabentuknya. Sangat sesuai bagi pengguna yang bertangan halus. Berkualiti!.

Kelemahan tentang pen ini pula bagi saya, penutupnya tidak tertutup dengan kemas. Saya juga tak lama boleh menulis dengan pen slim..mungkin itu adalah kelemahan saya.