Ini adalah pen jenama Aurora yang pertama saya pernah gunakan. Model Ipsilon, berwarna hitam dengan kemasan warna emas di bahagian klip dan ring. Warna merah di bahagian antara ring di penutup pen mungkin menunjukkan pen ini dihasilkan pada tahun 90-an. Sekarang ini, model ipsilon masih ada lagi namun ada perubahan di bahagian kemasan sedikit terutama warna merah di bahagian ring itu.
Pen ini mempunyai rekabentuk yang menarik dan pelik bagi saya. Menarik dan cantik namun apa yang saya rasa pelik adalah pen ini seperti tidak seimbang berat dan saiznya kerana hujung badan pen agak kecil sedikit berbanding bahagian atas dan penutup pen. Klip pen menarik dan berbentuk Y, sesuatu yang berbeza dengan mana-mana pen yang pernah saya gunakan sebelum ini.
Material pen adalah plastik kalau tak silap saya resin. Agak ringan namun warna dan kilauannya sangat cantik. Disebabkan ia agak ringan saya selalu meletakkan penutup di hujung belakang pen supaya ia terasa berat sedikit.
Mata pen sangat istimewa. Walaupun mata pen diperbuat daripada Stainless Steel namun ia sangat lancar dan licin. Ini adalah mata steel terbaik pernah saya gunakan. Namun ada sesuatu yang memberi kekurangan terhadap mata steel ini adalah ianya diwarnakan dengan warna emas (goldplated). Goldplated akan pudar jika pen ini digunakan setiap hari dan ianya memberi pandangan yang tak menyeronokkan ketika menulis. Jika anda adalah orang yang mementingkan rupa cantik mata pen, baiklah anda memilih yang tidak berwarna emas.
Secara kesimpulannya, pen ini membuatkan saya tertanya-tanya bagaimana rasanya menulis menggunakan pennya yang terbaik iaitu Aurora 88 jika model pengenalannya sudah terasa agak menyeronokkan, terutama keistimewaan mata pennya. Ada beberapa kelebihan dan kekurangan yang ketara iaitu kelebihan mata pen dan kekurangan berat pen hingga dirasakan pen ini senang rosak dan memerlukan penjagaan yang sangat teliti juga goldplated di bahagian mata pen yang senang pudar menyebabkan saya risau goldplated di bahagian klip dan ring juga akan pudar dengan senang.
Pada pendapat saya, walaupun ada beberapa kekurangan pen ini,ia berjaya menunjukkan keistimewaannya ketika mata pen menyentuh kertas dan sekaligus menghilangkan ketidakpuasan hati saya tentang pen ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan