Parker Vacumatic merupakan antara model pen yang popular di kalangan pengumpul dan peminat pen. Ada pengumpul yang menggelarnya 'Parker Belang' kerana corak belang di plastik celluloid parker vacumatic. Diperkenalkan pada tahun 1932 dan menjadi hangat di pasaran menggantikan model duofold yang popular sebelumnya.
Saya ingin mengulas dengan fokus terhadap pen parker vacumatic warna keemasan ini sahaja kerana jika saya mahu menceritakan tentang model ini secara menyeluruh saya khuatir ia akan mempunyai banyak kesilapan fakta disebabkan saya bukanlah terlalu arif tentang model ini dan cerita tentangnya saya rasa agak panjang. Pen ini diperbuat di Canada pada tahun 1950-an. Ianya bersaiz medium atau sederhana besar, bukanlah junior (kecil) atau senior (besar). Secara amnya, Parker Vacumatic ditamatkan pengeluarannya di Amerika pada tahun 1948 dan 1953 di Canada.
Pada saya ini adalah model era klasik terakhir bagi jenama Parker. Ini adalah disebabkan selepas model vacumatic muncul model Parker 51 yang membawa banyak pembaharuan dalam rekabentuk pen jenama Parker dan menjadi tanda aras kemodenan fountain pen selepas itu. Kecantikan model parker vacumatic ini tidak dapat dilihat pada jenama pen yang lain. Keunikan bahan plastiknya iaitu celluloid membolehkan kecantikan itu dapat dirasakan hingga hari ini. Kemasan atau perhiasan di klip dan gelang di bahagian penutupnya mempunyai ukiran yang menunjukkan kegemilangan era 'art deco' di zaman 40-an. Mata pen juga sarat dengan kecantikan ukirannya. Sistem vacumatic yang digunakan oleh pen model ini adalah sistem pengisian dakwat yang tidak menggunakan sac tetapi ianya menggunakan getah untuk menyedut dakwat melalui tekanan yang dikenakan pada piston di hujung pen.
Kualiti tulisan pen ini tidak jauh beza dengan kualiti pen-pen vintaj jenama lain. Saya sangat menyukai kualiti dan hasil tulisan yang keluar dari hujung mata pen lama. Dakwat yang keluar tidak tersangkut-sangkut, mungkin disebabkan saya telah membersihkan pen ini terlebih dahulu. Disebabkan mata pen ini bersaiz halus mungkin ef, saya tidak boleh menulis dengan laju kerana matanya sangat tajam bagai menulis dengan jarum.
Menulis dengan parker vacumatic ini dapat memberi kesan penghayatan yang baik terhadap apa yang ditulis pada saya kerana keindahannya. Pembuatan pen ini benar-benar menunjukkan betapa pen sangat dihargai oleh orang atau pengguna pada ketika itu. Menulis ketika memegang sesuatu yang indah seperti ini akan membuatkan hati berasa tenang dan ingin menulis yang indah sahaja.
Ada satu kekurangan pen ini pada pendapat saya dan ianya hanyalah berlaku kepada saya yang bertangan besar dan biasa menggunakan pen bersaiz agak besar seperti Sheaffer Pfm. Mungkin juga saya lebih sesuai menulis dengan Parker Vacumatic saiz Senior. Bahagian memegang pen iaitu tempat meletakkan ibu jari dan jari tengah agak kecil dan menyukarkan saya menyelaraskan perletakkan jari-jari saya. Jika saya dapat merasai perbezaan dengan saiz senior bolehlah saya ceritakan di kemudian hari. Apa-apapun ini adalah pen yang hebat.