Ini adalah pen yang dihasilkan di Jerman dan disasarkan untuk pasaran pertengahan ke bawah. Secara amnya, pen ini dijual murah berbanding jenama-jenama hebat seperti Parker, Sheaffer, Pelikan dan Montblanc. Namun demikian, kualiti yang ada pada pen Rotax boleh dikatakan sangat bagus cuma material yang digunakan menampakkan ia seperti pen murah. Klip pen diperbuat daripada plastik dan mata pen stainless steel.
Iklan lama berkenaan dengan pen Rotax
Pen Rotax ini menggunakan sistem pengisian dakwat secara piston, sama seperti pen Jerman yang lain iaitu Montblanc dan Pelikan. Tidak mudah mempunyai masalah, sistem ini mudah dikendalikan dan tahan lasak. Namun jika rosak tidak boleh atau sukar untuk dibaiki sendiri.
Iklan pen Rotax dan pen Rotax. Iklan lithograph yang diandaikan berusia 50 tahun.
Mata pen diperbuat daripada steel dan disadur dengan emas. Namun ianya tidak bermaksud mata pen ini tidak bagus. Mata pennya pada saya lebih baik daripada kebanyakkan pen moden yang dijual murah.
Keselesaan menggunakannya boleh juga saya katakan sebagai agak bagus. Cuma yang menjadi masalah bagi saya adalah klip pen agak kelihatan kurang kukuh. Klip pen rasanya plastik dan agak nipis. Isu ini menyebabkan saya kurang menggunakannya kerana bimbang ia akan terpatah. Pasti sukar mencari gantinya.
Secara keseluruhannya, pen ini bagaikan bahan sejarah yang menunjukkan alat tulis bagi orang kebanyakkan di negara ini. Kualiti dan prestasi pen bagus dan tidak membuatkan pengguna terlalu merasakan beza yang terlalu ketara antara Rotax dan Parker.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan