Parker 45 adalah model pen yang diperkenalkan pada tahun 1960 dengan pelbagai kemasan, warna dan macam-macam variasi. Ianya merupakan model pen parker yang paling lama dijual iaitu sejak tahun 60-an hinggalah ke tahun 2007. Disasarkan untuk pasaran pen harga rendah dan mendapat sambutan ramai pengguna. Boleh dikatakan model yang berjaya.
Hari ini saya menggunakan semula parker 45 milik arwah ayah saya. Rekabentuk pen ini saya kira menarik dan tidak menampakkan yang ia adalah pen murah. Berat pen parker 45 bagi versi steel ini adalah lebih berat berbanding plastik dan menjadi kegemaran ramai pengumpul pen, oleh yang demikian tidak hairan harga bagi pen besi ini adalah lebih tinggi bagi versi plastik buat masa ini.
Mata pen tidak mengecewakan jika anda tidak membuat perbandingan dengan model-model yang lebih mahal seperti parker 51 atau 61. Boleh saya katakan sebagai memuaskan hati dan yang menjadi masalah adalah aliran dakwat yang segera kering, apabila sedang menulis dakwatnya tidak bermasalah cuma di awal penulisan sahaja dakwat sukar untuk keluar.
Parker 45 mempunyai banyak variasi dan memberi keseronokkan mengumpul kepada pengumpul-pengumpul pen. Harga pasarannya juga tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu membebankan di saat ekonomi yang agak tidak stabil ini. Secara keseluruhannya, pen ini adalah sangat nostalgik kerana bagi orang-orang kebanyakkan di negara ini yang berusia lebih 40 tahun akan mengenali pen parker 45 ini kerana biasa menggunakannya di sekolah, universiti atau di pejabat suatu masa dahulu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan